ANDA PELAWAT KE


Friday, January 9, 2009

ARTIKEL 13 KONVENSYEN HAK KANAK-KANAK

Jangan berselindung di sebalik Artikel 13

Pergerakan Puteri UMNO membidas pertubuhan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) yang cuba menegakkan kebenaran dalam isu menggunakan kanak-kanak bagi kempen Rakyat Pengayuh Perubahan, baru-baru ini.

Naib Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pertubuhan itu tidak layak untuk berselindung di sebalik Artikel 13 Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) bagi menghalalkan tindakan mereka mengeksploitasikan kanak-kanak.

Menurut beliau, artikel tersebut tidak mengiktiraf mana-mana pihak boleh menggunakan kanak-kanak bagi memenuhi tujuan yang tidak berkaitan dengan kepentingan golongan itu sendiri.

''Dalam isu ini, Artikel 13 adalah berkaitan dengan masalah pendidikan, penderaan atau kes kanak-kanak dipaksa bekerja, ia mungkin sesuai digunakan.

''Namun, umum mengetahui tindakan Jerit itu lebih kepada tujuan untuk memenuhi matlamat dan kepentingan pertubuhan tersebut.

''Jadi, adalah salah jika mereka berlindung dengan artikel tersebut untuk mengheret kanak-kanak dalam isu ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Penyelaras Nasional Jerit, Y. Kohila yang mempertahankan tindakan menggunakan kanak-kanak dalam kempen Rakyat Pengayuh Perubahan dengan mendakwa penyertaan mereka mendapat kebenaran ibu bapa.

Kohila berkata, kenyataan pihak polis sebenarnya yang menafikan hak kanak-kanak untuk menyertai aktiviti atas kerelaan mereka dan ia melanggar CRC.

Katanya, dalam konvensyen itu dinyatakan bahawa kanak-kanak berhak bersuara seperti termaktub dalam Artikel 13 serta hak berhimpun dan menyertai persatuan yang turut diperuntukkan dalam Artikel 15 konvensyen itu.

Mengulas lanjut, Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun juga secara jelas tidak layak untuk menyertai mana-mana persatuan apa lagi pertubuhan seperti Jerit.

''Sehubungan itu, adalah suatu yang mengelirukan apabila pertubuhan ini cuba mempertahankan tindakan yang secara terang tidak wajar dilakukan.

''Kita bimbang senario ini jika tidak dibendung akan melahirkan generasi muda yang muda memberontak dan berdemonstrasi jika timbul sesuatu konflik atau isu,'' katanya.

Beliau berkata, didikan yang sepatutnya adalah menyelesaikan sesuatu perkara itu melalui jalan rundingan dan bukannya berdemonstrasi.

(Sumber :- 24/12 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1225&pub=utusan_malaysia&sec=Jenayah&pg=je_06.htm&arc=hive)

No comments: